Sedia hadiah, aktiviti menarik santuni 2,000 pengunjung
SHAH ALAM - Pharmacore Technology and Innovation (Pharmacore) menyediakan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik bertujuan menyantuni lebih 2,000 pengunjung Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 bermula 25 hingga 29 Mac ini.
Duta Wardah Beauty, Dayah Bakar berkata, inisiatif yang diambil tersebut bagi berkongsi rezeki dengan memberikan makanan dan produk kepada orang ramai sempena kempen Teruskan Langkah Baikmu.
"Kalau ikut sunnah, kita kena berbuka puasa dengan benda manis. Jadi kami sediakan air manis yang berwarna-warni kepada pengunjung. Sementara tunggu azan, kita selitkan segmen kuiz berkaitan Ramadan dan produk Wardah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah beliau, penganjuran program seperti ini merupakan satu inisiatif yang sangat bagus kerana dapat mengumpulkan ramai orang dan memberi makanan berbuka secara percuma.
"Aktiviti seperti ini membantu mengeratkan lagi hubungan sesama umat Islam. Yang sudah saling mengenali akan lebih rapat dan bagi mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain, boleh berkawan.
"Harap program berbuka puasa dan kolaborasi ini akan dikekal dan diteruskan lagi pada masa akan datang, mungkin boleh dianjurkan di tempat lain juga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!