Perhilitan Terengganu pantau kemunculan beruang matahari
KUALA NERUS - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu masih mengesan kelibat seekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan di Tok Jembal, dekat sini pada Rabu.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, setakat ini pihaknya yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu tidak menemui sebarang petunjuk berhubung keberadaan hidupan liar berkenaan.
"Kita menerima aduan daripada penduduk mengenai kehadiran haiwan itu pada Selasa, namun setelah pergi ke lokasi kejadian mendapati beruang tersebut sudah tiada.
"Jadi kita sekarang sedang berusaha menjejaki beruang matahari itu dengan menjalankan kawalan dari semasa ke semasa di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Kean Seong berkata, orang awam diminta supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak haiwan berkenaan.
"Segera lapor pada Perhilitan jika ternampak dan jangan sesekali melakukan provokasi terhadap beruang itu.
"Orang ramai dinasihatkan segera beredar dari lokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Sinar Harian melaporkan gelagat seekor beruang matahari yang cuba memanjat pagar di kawasan perumahan berdekatan Tok Jembal di sini, sempat dirakam seorang penduduk dan tular di media sosial pada Rabu.
Video tersebut memaparkan aksi seekor beruang yang melintas kawasan rumah sebelum ditemukan terlekat pada pagar rumah berkenaan dipercayai di kawasan sekitar Tok Jembal.
Situasi itu mendapat pelbagai reaksi netizen malah ada yang bersimpati dengan nasib beruang itu kerana telah terpisah daripada habitat semula jadi haiwan tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!