UniKL kekalkan rentak kemenangan

Pemain UniKL, Tengku Ahmad Tajuddin (kanan) bersaing dengan pemain Hockademy di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada hari ini. UniKL menang 3-1.
Pemain UniKL, Tengku Ahmad Tajuddin (kanan) bersaing dengan pemain Hockademy di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada hari ini. UniKL menang 3-1.
A
A
A

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) mencetak kemenangan kedua saingan Liga Premier TNBMHL 2020 selepas menewaskan Hockademy 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada hari ini.

Juara bertahan tidak berdepan masalah besar untuk meraih tiga mata meskipun tidak dapat menurunkan tonggak import dari Australia, Kieran Govers yang masih mengalami kecederaan.

Govers terpaksa diarahkan berehat selepas kepalanya terkena bola sewaktu membantu UniKL menjulang Piala Sumbangsih dengan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 pada Jumaat lalu.

Ia terbukti apabila UniKL berjaya memperoleh tiga gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim (m-15) dan dua jaringan padang masing-masing melalui Roel Bovendeert (m-18) serta Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-38.

Walaupun Hockademy yang bermain secara bertahan, berjaya mendapat satu gol menerusi jaringan padang Razalee Yahya pada minit ke-56 tetapi ia tidak mampu menjejaskan kemenangan mutlak buat UniKL dalam perlawanan itu.

"Ini satu perlawanan yang bagus kerana kami amat memerlukan tiga mata, malah saya turut memberikan peluang bermain kepada pemain-pemain muda malam ini.

"Malangnya saya tidak dapat menurunkan Govers disebabkan kecederaan kepala dialami ketika menentang THT tetapi dia kini sedang berada dalam fasa pemulihan," kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

UniKL naib juara Piala TNB musim lalu, akan meneruskan perlawanan ketiga liga menentang UiTM di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta pada Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi perlawanan hari ini menyaksikan THT menewaskan TNB Thunderbolts 5-0 manakala Maybank mencatat kemenangan 4-1 ke atas UiTM, sementara TNB menang bergaya 6-1 terhadap Nurinsafi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!