Applecrumby tingkat pelaburan AS$4.2 juta
JENAMA penjagaan bayi dan platform e-dagang terkemuka, Applecrumby telah meningkatkan pelaburan sebanyak AS$4.2 juta (RM19.86 juta) daripada firma permodalan teroka global berbilang peringkat, 500 Global.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Applecrumby, Sean Tan berkata, pelaburan itu akan mempercepatkan pertumbuhan syarikat melalui produk penjagaan bayi yang berkualiti tinggi, selamat dan mampu milik termasuk lampin bebas dari klorin 100 peratus yang direkakan khas, berjenama PureBasicsTM oleh Applecrumby.
“Pembiayaan baharu itu akan membolehkan Applecrumby berkembang secara global, pengedarannya dan membangunkan produk baharu di bawah rangkaian PureBasics untuk memenuhi keperluan ibu bapa moden.
“Ibu bapa mempunyai pilihan luas untuk produk penjagaan bayi yang mampu milik dan bebas toksin, tidak kira di mana sahaja mereka berada. Applecrumby telah membantu ibu bapa sejak 2012,” kata Sean Tan dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Applecrumby adalah perintis dalam membawakan produk penjagaan bayi tanpa bahan kimia yang berkualiti dan mampu milik kepada ibu bapa di seluruh Asia Tenggara.
“Selain keperluan penjagaan kulit bayi, pencuci baju dan kain lap bayi yang diuji secara dermatologi, pasukan Applecrumby sentiasa berinovasi untuk mencipta produk yang paling terpelihara dan selamat bagi para ibu bapa dan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata, produk Applecrumby boleh didapati di 11 negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina dan China.
Mengulas lanjut, Sean Tan berkata, syarikat itu merancang untuk berkembang ke 20 negara menjelang akhir tahun 2024 melalui pengedar serantau.
“Di Malaysia, jenama ini akan berada di hampir 2,000 lokasi peruncitan untuk memberikan kemudahan lebih kepada ibu bapa tahun ini.
“PureBasic oleh Applecrumby telah dilancarkan pada penghujung tahun 2023 dan lebih 250,000 pek telah dijual,” katanya.
Sementara itu, rakan kongsi di 500 Global Shahril Ibrahim berkata, Applecrumby diiktiraf sebagai salah satu jenama terkemuka untuk penjagaan bayi yang telah menerima pelbagai anugerah bagi inovasi produknya.
“Kami menyokong misi Sean dan Jesmine untuk meningkatkan keselamatan dan standard penjagaan bayi ke peringkat global,” kata Shahril.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!