Kaedah bantuan Sumbangan Asas Rahmah akan ditambah baik
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah baik kaedah bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain mempertimbangkan untuk memperluas bantuannya pada masa akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Hui Ying berkata, ini kerana berdasarkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan penerima, SARA telah banyak memberi manfaat dan faedah kepada mereka memandangkan ia adalah bantuan bersasar kepada golongan miskin dan miskin tegar bagi mendapatkan barangan yang telah diperuntukkan.
"Ini (SARA) berbeza daripada subsidi pukal kerana SARA dapat mengelakkan ketirisan dan diberikan kepada penerima dikenali dan layak sahaja," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam memastikan supaya semua golongan sasar yang layak menerima SARA tidak tercicir daripada bantuan itu.
Menurut Hui Ying, sekiranya rakyat merasakan pendapatan mereka di bawah paras garis kemiskinan (PGK) nasional, maka mereka digalakkan untuk mendaftar dalam sistem e-Kasih di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi memastikan tidak tercicir daripada inisiatif bantuan oleh kerajaan.
"Dalam masa sama, permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga dibuka sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada penerima berkelayakan untuk dipertimbang semula memandangkan kelayakan SARA adalah terhad kepada penerima lulus STR yang berstatus miskin atau miskin tegar," katanya.
Mengenai kaedah penyaluran kaedah bantuan SARA bagi Semenanjung, beliau berkata, sejumlah RM100 sebulan disalurkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan yang menerima RM1,200 secara keseluruhannya, manakala RM50 sebulan bagi golongan bujang dengan kadar bantuan RM600.
"Ia disalurkan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima dengan membolehkan penerima SARA membeli barangan runcit asas di bawah kategori produk yang diluluskan oleh pasar raya dan kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
"Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari lepas dan 12 Ogos ini melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara," katanya.
Beliau berkata, sejumlah RM210 juta telah disalurkan kepada 700,000 penerima SARA seluruh negara, setakat semalam.
"Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa termasuk sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar dilancarkan dalam memastikan bantuan tunai kerajaan terus disalurkan kepada golongan rentan dalam mendepani cabaran kos sara hidup," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!