Kerajaan sasar lebih RM367 bilion pelaburan di NCER

Anwar mempengerusikan mesyuarat NCIA di sini pada Rabu.
Anwar mempengerusikan mesyuarat NCIA di sini pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menyasarkan RM367.8 bilion nilai pelaburan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) direalisasi menjelang tahun 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selepas wilayah itu direncanakan untuk menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia menerusi tiga bidang tumpuan baharu iaitu perkhidmatan termaju, pembuatan bernilai tinggi dan pertanian moden.

"Dua pemacu perubahan yang akan menyokong adalah amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan mengaplikasi penggunaan digital," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Ujar beliau, Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-31 yang berlangsung telah meneliti Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030.

Anwar mempengerusikan mesyuarat NCIA di sini pada Rabu.
Anwar mempengerusikan mesyuarat NCIA di sini pada Rabu.

"Bagi tempoh 2021 hingga 2022, NCER telah menyumbang 34 peratus atau RM197 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan," katanya.

Menurut beliau, mesyuarat yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri besar sebagai Ahli Majlis NCIA turut membincangkan inisiatif “Facilitation@NCER” dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di NCER.

"Ini akan melibatkan koordinasi dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital on-track," jelas Anwar.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, NCER berjaya memudahkan pelaburan sebanyak RM21.41 bilion, dengan RM41.45 bilion daripadanya direalisasikan dalam tempoh yang sama dan lebih 24,000 peluang pekerjaan diwujudkan.

Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM8.97 bilion atau 42 peratus dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi pelabur terbesar iaitu sebanyak RM8.12 bilion, diikuti China (RM550 juta) dan Jerman (RM280 juta), manakala pelaburan domestik menyumbang RM12.44 bilion.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!