Vigneswaran kekal jawatan Presiden MIC
SHAH ALAM - Tan Sri Vigneswaran Sanasee kekal sebagai Presiden Kebangsaan Kongres India Malaysia (MIC) selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan kepimpinan baru parti tersebut.
Timbalannya, Datuk Seri M Saravanan berkata, Vigneswaran mengekalkan jawatan itu untuk tiga penggal berturut-turut selepas pencalonan presiden parti ditutup di ibu pejabat pada tengah hari Rabu.
“MIC kini lebih bersatu berbanding sebelum ini dan akan terus memandang ke hadapan.
“Selain memperjuangkan nasib rakyat, MIC adalah satu-satunya parti berasaskan India di negara ini yang meletakkan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan masyarakat India,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan MIC mengadakan pemilihan jawatan presiden bagi penggal 2024 hingga 2027 pada 12 April lalu, dengan hari pencalonan ditetapkan pada 27 Mac dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari di tingkat lima ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!