Kerajaan perlu konsisten promosi PADU
SHAH ALAM - Kerajaan perlu konsisten mempromosikan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan berusaha menjelaskan manfaatnya bagi meningkatkan keyakinan rakyat mendaftar.
Pakar Ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk dipertimbangkan buat masa ini kerana penerimaan masyarakat terhadap sistem itu masih rendah atas pelbagai faktor seperti kurang jelas dari segi fungsi atau manfaat.
“Kerajaan hendaklah mempromosi dan memberikan publisiti meluas tentang kebaikan yang penerima bantuan akan dapat melalui sistem PADU sehinggalah ia berjaya meresap ke dalam fikiran mereka.
“Bagi saya, kita tak boleh salahkan rakyat yang belum mendaftar sebaliknya bimbinglah mereka kerana jika masalah keyakinan tak ada, maka ada sesuatu tak kena dalam hal ini.
"Justeru, kerajaan perlu terus menerus yakinkan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya mengenai sistem terbabit yang seakan-akan menghukum rakyat gara-gara peratusan mendaftar masih rendah sebelum tarikh tutup 31 Mac ini, Shazali memaklumkan, kerajaan tidak patut berbuat demikian kerana kurang adil untuk mencicirkan golongan memerlukan.
“Memandangkan kerajaan gagal meyakinkan rakyat, saya rasa tak adil untuk cicirkan mereka yang mungkin layak menerima sumbangan atau subsidi.
“Mungkin juga benar ada golongan yang langsung tidak tahu kewujudan PADU atau kurang faham cara penggunaannya,” ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!