Israel bengang AS buat pusingan U

Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield memilih berkecuali pada sesi undian menggesa gencatan senjata Gaza di ibu pejabat PBB, New York pada Isnin. - Agensi
Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield memilih berkecuali pada sesi undian menggesa gencatan senjata Gaza di ibu pejabat PBB, New York pada Isnin. - Agensi
A
A
A

NEW YORK - Israel nyata tidak berpuas hati apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza.

Lebih mengecewakan Israel apabila resolusi itu diluluskan tanpa bantahan sekutu rapat rejim Zionis, Amerika Syarikat (AS) ketika pertempuran sengit di Semenanjung Gaza masih lagi berterusan.

Sejak kebelakangan ini, pendirian Washington terhadap Israel tampak semakin tegas.

Malah, AS menegaskan bahawa tindakan tidak membantah resolusi itu bukan menandakan peralihan dalam dasar luarnya.

'Ketiadaan' kuasa veto AS bermakna resolusi itu mendapat persetujuan semua 14 anggota Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera semasa bulan suci Ramadan.

Resolusi itu mendapat tepukan gemuruh dalam Majlis Keselamatan yang biasanya tenang.

Selain gencatan senjata, Majlis Keselamatan turut menuntut Hamas dan pejuang Palestin lain membebaskan tebusan Israel yang mereka tawan.

Selepas sesi pengundian selesai, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengetuai gesaan supaya resolusi tersebut dilaksanakan segera.

Artikel Berkaitan:

“Kegagalan berbuat demikian tidak boleh dimaafkan,” katanya di platform X.

Susulan perkembangan itu, Israel membatalkan lawatan delegasinya ke Washington bagi membincangkan kebimbangan berhubung pelan serangan darat Israel ke atas bandar Rafah yang sesak di selatan Gaza.

“Ia jelas bercanggah daripada pendirian konsisten Washington sebelum ini,” kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Perang Gaza meletus selepas serangan di luar jangkaan oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel.

Kumpulan Hamas turut menawan 250 tebusan dan Israel percaya kira-kira 130 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 33 yang dianggap sudah mati.

Kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza meletakkan angka korban terbaharu rakyat Palestin adalah seramai 32,333 orang dengan kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak. – AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!