Jambatan Baltimore: Kedutaan Malaysia di Washington pantau rapat perkembangan
PUTRAJAYA - Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Washington memantau rapat perkembangan insiden jambatan Francis Scott Key yang runtuh di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati selain mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Kedutaan Besar Malaysia di Washington, D.C. sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi kedutaan di 3516 International Ct NW, Washington, DC 20008, nombor telefon +1 (202) 375 4396 atau e-mel consularwdc@kln.gov.my
Menurut laporan media, jambatan Francis Scott Key itu runtuh ke dalam Sungai Patapsco awal Selasa selepas sebuah kapal kontena didaftarkan di Singapura melanggar tiang jambatan yang dibuka pada 1977, menyebabkan enam orang dipercayai maut. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!