Bomba guna buih padam kebakaran tapak pelupusan sampah
KOTA KINABALU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah terpaksa menjalankan kaedah pemadaman api menggunakan buih bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu madang di sini.
Kebakaran yang sudah memasuki hari keempat itu membabitkan keluasan 4.57 hektar di kawasan sisa pembuangan tayar terpakai.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Abdul Razak Muda, operasi pemadaman melibatkan anggota dari ibu pejabat dan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang.
"Pemadaman menggunakan peralatan dan jentera dengan penggunaan sumber air terbuka dan juga menggunakan buih.
"Operasi pemadaman dibahagikan kepada empat sektor iaitu A, B, C dan D di mana setakat ini bagi sektor A sebanyak 90 peratus api telah berjaya dipadamkan manakala di sektor B masih terbakar 100 peratus.
"Sektor C sebanyak 50 peratus telah dipadamkan dan Sektor D telah berjaya sebanyak 70 peratus," katanya pada Rabu.
Setakat ini, Abdul Razak berkata, baki keluasan kebakaran yang masih belum berjaya dipadamkan ialah 2.5 hektar lagi.
Katanya lagi, maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa bagi operasi pemadaman kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam kenyataannya memaklumkan kebakaran berlaku pada Ahad lalu dipercayai berpunca daripada kebakaran yang berlaku di hutan berhampiran dan merebak sehingga hampir keseluruhan tapak simpanan tayar terpakai di kawasan tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!