'Scammer guna taktik baharu e-Reporting perdaya mangsa' - JSJK
KUALA LUMPUR - Polis mengesan modus operandi terbaharu sindiket penipuan e-Reporting dengan membuat panggilan video bagi meyakinkan dan seterusnya memperdaya mangsa untuk membuat bayaran atau pindahan wang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 34 laporan telah diterima berkaitan
modus operandi terbabit melibatkan nilai kerugian lebih RM1 juta pada tahun lalu.
"Sejumlah 14 laporan polis telah diterima melibatkan nilai kerugian RM960,500 sejak awal tahun ini sehingga 14 Mac lalu," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.
Ramli berkata, pada awalnya, mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai daripada syarikat kurier.
"Pemanggil akan mewujudkan satu situasi yang menjadikan mangsa panik dan menurut semua arahan yang diberikan," katanya.
Beliau berkata, seterusnya, panggilan tersebut akan disambungkan kepada ahli sindiket yang menyamar anggota polis secara panggilan video.
"Melalui panggilan video ini, mangsa akan diyakinkan untuk membuat laporan polis secara dalam talian (e-Reporting) dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai polis.
"Dengan adanya suasana seolah-olah berada di balai polis, mangsa akan berasa selamat dan seterusnya memberikan semua maklumat yang diminta sehinggalah mengakibatkan berlakunya kehilangan wang ringgit," ujarnya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan sebegini.
"Pihak polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan polis mahupun menjalankan siasatan.
"Sebarang proses siasatan hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Ramli berkata, portal atau kemudahan e-Reporting telah dibangunkan oleh PDRM sebenarnya untuk memudahkan orang awam membuat laporan polis secara dalam talian.
"Kemudahan ini hanya terhad untuk membuat laporan polis berkaitan kehilangan dokumen atau barangan yang tidak berkait dengan jenayah," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!