Gara-gara gagal selamatkan potret pemimpin Korea Utara
PYONGYANG - Seorang ibu di Korea Utara bakal berdepan hukuman penjara kerana hanya mendapatkan dua anaknya dan gagal menyelamatkan potret pemimpin Pyongyang dalam satu insiden kebakaran.
Wanita terbabit turut disoal siasat oleh Kementerian Keselamatan Negara selepas sebuah rumah yang didiami dua keluarga terbakar di daerah Onsong, wilayah Hamgyong Utara berhampiran sempadan China.
Kedua-dua ibu bapa berkenaan tiada di rumah ketika kebakaran itu berlaku tetapi mereka bergegas pulang untuk menyelamatkan keluarga masing-masing selepas melihat kepulan asap.
Difahamkan, peraturan negara itu menetapkan setiap kediaman perlu menggantung potret bekas pemimpin, Kim Il-sung dan Kim Jong-il yang akan turut diperiksa oleh wakil kerajaan.
Di bawah undang-undang Korea Utara, kegagalan untuk menjaga potret kedua-dua pemimpin terbabit seperti nyawa sendiri adalah satu kesalahan jenayah.
Jika disabit bersalah, wanita itu mungkin akan berdepan hukuman penjara dan diarahkan menjadi buruh paksa.
Akhbar Daily NK melaporkan dia juga tidak diberi melawat anaknya di hospital dan tidak dibenarkan mendapatkan antibiotik untuk merawat kesan lecur pada tubuh mereka.
Sebelum ini, mana-mana rakyat Korea Utara yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan potret datuk dan bapa kepada pemimpin Kim Jong-un itu diangkat sebagai 'hero'.
Pada 2012, seorang remaja berusia 14 tahun, Han Hyon-Gyong dilaporkan mati lemas ketika cuba menyelamatkan potret pemimpin Pyongyang selepas banjir kilat melanda kediaman keluarganya di daerah Sinhung di Hamkyong Selatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!