Lebih 20,000 guru baharu dilantik tahun lepas - Fadhlina

KPM telah melantik 20,171 guru baharu secara lantikan tetap dan kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah pada tahun lepas. Gambar haisan Bernama
KPM telah melantik 20,171 guru baharu secara lantikan tetap dan kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah pada tahun lepas. Gambar haisan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) telah melantik 20,171 guru baharu secara lantikan tetap dan kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah pada tahun lepas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian tertinggi pernah dicapai oleh KPM dalam tempoh setahun.

"Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi 2024 dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah-sekolah di bawah KPM,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara pada Rabu.

Selain itu, Fadhlina berkata, buat masa ini KPM tidak bercadang untuk mengkaji semula dasar sekolah vernakular dengan mewujudkan sistem pendidikan satu aliran.

Beliau berkata, dasar pendidikan sedia ada diteruskan dan tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merapatkan jurang antara sekolah dalam negara bagi memastikan perpaduan nasional dapat dicapai melalui pendidikan.

"Dalam konteks ini, sekolah jenis apa pun kita tidak melihat ia sebagai satu halangan untuk menggalakkan perpaduan. Malah, ia sebagai ruang terbaik untuk kita bersama-sama memberikan ruang kefahaman dan pengukuhan agenda perpaduan dalam kalangan anak murid.

"Saya sangat percaya dan optimis bahawa ke hadapan ini, generasi yang kita lahirkan benar-benar boleh buat apresiasi kepada perpaduan dengan pendekatan-pendekatan yang kita ambil ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menggulung usul sama berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang berusaha mewujudkan satu garis panduan bagi penguasaan bahasa Inggeris berasaskan Common European Framework of Reference For Languages yang digunakan di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Garis panduan ini akan digunakan oleh para pensyarah dan guru bahasa di universiti awam bagi membangunkan kertas ujian penilaian dan pentaksiran bahasa Inggeris bersesuaian dengan tahap penguasaan pelajar berlandaskan standard antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan KPT melalui Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam Malaysia sedang merangka pelan strategik latihan kepakaran perubatan bagi memenuhi keperluan pakar perubatan dalam negara. -Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!