Anies desak mahkamah batalkan kemenangan Prabowo
JAKARTA - Anies Baswedan yang tewas dalam pilihan raya Presiden Indonesia bulan lalu, telah memberitahu mahkamah bahawa pilihan raya itu tidak adil dan penuh dengan campur tangan kerajaan.
Dalam prosiding di Mahkamah Perlembagaan pada Rabu, Anies mendesak mahkamah membatalkan kemenangan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, seterusnya mengadakan pemilihan semula.
Prabowo muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya pada 14 Februari lalu dengan meraih hampir 60 peratus undi. Anies di tempat kedua dengan 25 peratus, manakala Ganjar Pranowo di tempat ketiga dengan 16 peratus.
Anies berkata, kemenangan besar Prabowo dibantu oleh tekanan daripada pentadbiran partisan terhadap pihak berkuasa wilayah dan pengagihan bantuan sosial sebagai 'alat transaksi' untuk memastikan kejayaan berkenaan.
"Pilihan raya itu menunjukkan bahawa negara demokrasi ketiga terbesar ini berisiko untuk kembali ke masa lalu yang bersifat autoritarian.
"Jika kita tidak melakukan tindakan yang betul sekarang, maka ia akan menjadi amalan pada masa depan membabitkan undian di setiap peringkat.
"Amalan ini akan dianggap sebagai biasa dan menjadi tabiat," katanya yang juga bekas gabenor Jakarta.
Dalam pada itu, pentadbiran Presiden Joko Widodo atau Jokowi menolak dakwaan berlakunya campur tangan dalam pilihan raya tersebut.
Melalui pilihan raya tersebut, Prabowo dikatakan meraih kemenangan besar dengan sokongan secara tersirat daripada Jokowi.
Mahkamah dijangka membuat keputusan berhubung kes cabaran terhadap keputusan pilihan raya itu pada 22 April depan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!