MIC tidak bertanding di DUN Kuala Kubu Baharu - Vigneswaran
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] MIC tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, susulan kekosongan kerusi itu baru-baru ini.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, tiada sebab MIC untuk meminta kerusi berkenaan, kerana ia bukan kerusi parti itu.
Selain itu, kata Vigneswaran, MIC adalah satu daripada gabungan parti kerajaan yang memerintah.
"Jadi kami akan memastikan kerajaan gabungan ini menang (pada PRK itu),” katanya pada sidang media selepas proses pencalonan jawatan presiden parti itu di ibu pejabat MIC, di sini pada Rabu.
Vigneswaran hari ini mengekalkan jawatanya sebagai Presiden MIC bagi penggal 2024-2027 buat kali ketiga berturut-turut, selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatan itu hari ini.
Minggu lalu, Pejabat Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lee Kee Hiong akibat kanser.
Mengenai fokus utama MIC selepas ini pula, beliau berkata, parti itu akan menumpukan perhatian kepada pembinaan ibu pejabat baharunya yang kini merangkumi tiga blok.
"Bangunan baharu itu akan merangkumi tiga blok biarpun sebelum ini kami memang merancang untuk membangunkan dua blok sahaja, dan ia mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.
"Satu blok akan dikhaskan untuk ibu pejabat MIC, satu untuk Institusi Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), dan satu lagi untuk pangsapuri dan hotel," katanya kepada pemberita selepas sesi pencalonan hari ini.
Selain itu katanya kepimpinan MIC penggal ini juga akan melatih dan memberi peluang kepada golongan muda untuk memegang tampuk pemerintahan masa akan datang.
Vigneswaran berkata, MIC juga akan mempereratkan kerjasama bersama Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) yang telah terjalin setahun lalu dalam memperjuangkan hak serta hala tuju masa depan masyarakat India di negara ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!