44 topik al-Quran mudahkan pemahaman pembaca
SHAH ALAM - Penulis buku berjudul 44 Fakta Penting tentang al-Quran terbitan Karya Bestari meringkaskan maklumat dalam penulisannya supaya memberi pemahaman kepada pembaca.
Penulisnya, Dr Abd Razak Muthalib berkata, idea penulisan bahan bacaan tersebut dicetuskan oleh pelajar yang mengikuti bidang Ulum al-Quran kerana istilah dalam topik berkenaan sukar untuk difahami.
“Saya buat kelas tentang subjek ini (Ulum al-Quran) tetapi bila mereka sendiri mencari-cari buku untuk dirujuk, agak kurang bahan rujukan dalam bahasa Melayu, kebanyakan dalam bahasa Arab.
“Timbul cadangan atau idea untuk meringkaskan dan saring topik-topik yang nak ditulis dalam bahasa Melayu sebagai bahan bacaan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Abd Razak lagi, buku yang disiapkan dalam tempoh satu bulan itu ditulis dengan huraian yang tidak panjang supaya pembaca boleh memahami maklumat penting sahaja.
Ujarnya, fakta dimasukkan dalam buku berkenaan disertakan dengan sumber dan rujukan asal yang digunakan sebagai panduan untuk memilih topik.
“Sebagai contoh, di dalam bab satu bertajuk apakah nama-nama lain bagi al-Quran, kita akan terus dapat jawapan dengan mudah walaupun penulisannya ringkas.
“Ia juga disertakan sekali dengan dalil, hadis dan ayat suci al-Quran. Jadi, setiap fakta atau maklumat yang ada dalam buku ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat membacanya, bukan sahaja mereka yang berada dalam bidang tersebut,” jelasnya lagi.
Buku yang bertajuk 44 Fakta Penting tentang al-Quran itu sudah mula dipasarkan di Karangkraf Mall yang berharga RM19 sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!