Penipu tuduh Merak Jalanan terlibat langgar lari
DIAM tak diam sudah seminggu kita berada pada tahun baru 2020.
Namun, masih ada orang yang tak berubah perangai nak menganiaya orang.
Niat di hati bila umur meningkat satu angka lagi, emosi kena jaga, tak nak marah-marah lagi. Tapi, bila pagi-pagi diganggu, darah manis Merak Jalanan menyirap juga.
Merak Jalanan dihubungi seorang pegawai polis yang memberitahu berlaku satu kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian di Larkin, Johor. Merak Jalanan dituduh terlibat!
Pegawai itu paksa beri nombor kad pengenalan dan akaun jika tidak mahu diambil tindakan undang-undang.
Pelik juga kerana dia boleh selesaikan kes berat hanya dengan satu panggilan.
Nada suaranya berubah tinggi dan mengugut bila setiap tuduhannya dinafikan. Tak mahu panjangkan masalah, cepat-cepat putuskan talian.
Pada awalnya, jantung Merak Jalanan dup-dap-dup-dap juga. Itu bukan calang-calang kes, tuduhannya berat.
Langgar lari dan mangsa mati. Meringkuk dalam penjara sudah pasti atau silap hari bulan, mati dibalas mati!
Tetapi Merak Jalanan cepat tersedar dan tak perlu risau apa-apa sebab sudah bertahun kaki ini tidak memijak bumi Johor.
Fakta paling kuat, Merak Jalanan tak tahu memandu, tak pernah belajar memandu dan pastinya tidak ada lesen memandu!
Bayangkan kalau fakta itu menjadi sebaliknya dan pada waktu sama Merak Jalanan memang pernah ke Larkin.
Sah-sah nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank percuma sahaja ‘pegawai’ itu dapat.
Kita biasa dengar orang mengadu kena tipu, beribu duit habis.
Tapi kita tak boleh kata macam mana orang bijak pandai pun boleh terpedaya. Siapa pun akan takut jika dituduh dan disabitkan kes polis atau mahkamah atau ada masalah urusan jual beli.
Seeloknya, jika dapat panggilan sebegini cepat-cepat putuskan talian. Scammer boleh lakukan apa saja trick, terpulang atas kita nak percaya atau nak elak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!