Kerajaan, BNM telah dan sedang ambil langkah segera perkukuh ringgit - MOF
KUALA LUMPUR - Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dan sedang mengambil pelbagai langkah segera untuk memperkukuh nilai ringgit termasuk memastikan pasaran pertukaran asing dalam negara kekal teratur.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kerajaan juga akan turut mengambil langkah yang perlu termasuk campur tangan untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.
Selain itu, kerajaan akan turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport di samping meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS.
Tindakan bersepadu dan terselaras akan juga diambil bagi membawa masuk aliran dana ke pasaran pertukaran mata wang asing, kata kementerian itu.
"Secara khususnya, memperkasakan lagi usaha bersama syarikat berkaitan Kerajaan (GLIC dan GLC) bagi menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan daripada pelaburan asing dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN- Permatang Pauh) yang meminta kementerian tersebut menyatakan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang oleh kerajaan bagi meningkatkan kadar nilai ringgit berbanding dolar AS.
Di samping itu, kerajaan juga terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi-polisi struktur bagi mengukuhkan nilai ringgit untuk jangka masa panjang.
Langkah-langkah ini, kata MOF, termasuklah dasar menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu serta usaha mentransformasikan ekonomi negara yang dipandu oleh Kerangka Ekonomi MADANI.
"Kerajaan juga akan melaksanakan polisi struktur yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang berkualiti selain memberi penekanan terhadap kebertanggungjawaban kerajaan dalam menetapkan sebarang sasaran fiskal pada masa hadapan melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850),” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!