Tampilkan ikon islamik terkenal didik pelajar cinta program agama
PETALING JAYA - Program Bicara Santai, Iftar Jama'i dan Tarawih anjuran Sekolah Kelana Jaya 1 menampilkan dua ikon islamik terkenal negara sebagai usaha untuk mendidik pelajar mencintai majlis agama.
Penyelaras programnya, Muhammad Khairul Afnan Abdul Rashid berkata, ia merupakan satu inisiatif untuk menyemarakkan bulan dakwah menerusi perkongsian ilmu dan menunaikan solat berjemaah ketika Ramadan.
"Program tersebut bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan ibu bapa tetapi juga bersama tenaga pengajar di sekolah dengan kehadiran sebanyak 150 peserta hari ini.
"Gerak kerja untuk menganjurkan aktiviti ini dimulakan sejak tiga bulan lalu dengan tujuan asal adalah mencari dana baik pulih prasarana atau fasiliti surau sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Program itu juga julung kali diadakan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai suasana solat Tarawih seperti di Haramain bersama Sudais Malaysia, Syukri Ali dan sesi bicara santai oleh penceramah terkenal, Syamsul Debat.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Nur Syaza Badruddin, 31, berkata, ia merupakan pendekatan yang bagus daripada pihak sekolah kerana program seperti itu jarang diadakan di kawasan tersebut.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira apabila aktiviti begini diadakan sebab dapat memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai ilmu agama.
"Selalu mereka (anak-anak) akan tengok ceramah menerusi media sosial seperti Youtube sahaja dan mereka pun kenal Syamsul Debat.
"Jadi saya ambil peluang ini untuk hadir supaya berpeluang untuk bertemu penceramah dengan lebih dekat," ujarnya.
Turut berkongsi pendapat, pekerja swasta, Mohd Zainuri Mohd Nor, 42, program seperti ini perlu dijadikan sebagai aktiviti tahunan supaya lebih ramai dapat mendekatkan diri dengan program agama.
Tambah beliau, kanak-kanak kini lebih gemar menghabiskan waktu terluang bersama telefon bimbit atau melakukan perkara yang tidak memberi faedah dan melalaikan.
Ujarnya, penganjuran program seperti itu sangat digalakkan untuk diadakan secara berkala supaya masa lapang yang ada diisi dengan perkara positif dan bermanfaat.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!