Pesta Tanglung keunikan budaya berbilang kaum
JENJAROM - Pesta Tanglung dan Pameran Bunga-Bungaan yang berlangsung selama 18 hari di Kuil Dong Zen Fo Guang Shan Malaysia bakal menyajikan daya tarikan tersendiri kepada pengunjung tempatan dan luar negara.
Difahamkan, pesta yang bermula pada 23 Januari hingga 9 Februari ini akan mempamerkan pelbagai reka bentuk tanglung dihasilkan sukarelawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San berkata, program tersebut adalah acara turun-temurun sejak dahulu lagi menjelang setiap musim perayaan Tahun Baru Cina.
"Semua tanglung dihasilkan dengan begitu istimewa kerana reka bentuknya bukan hanya mempunyai unsur berkaitan masyarakat Tionghoa di Malaysia tapi diselitkan dengan elemen keunikan negara ini yang mempunyai pelbagai kaum
"Corak tanglung ini mempamerkan tradisi dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian selepas mengunjungi kuil berkenaan kelmarin.
Menurutnya, penganjuran pesta tersebut pada tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada orang Cina, bahkan masyarakat Melayu dan India turut hadir melihat secara lebih dekat keunikan tanglung dipamerkan.
"Kita berharap seluruh masyarakat tidak melepaskan peluang mengunjungi pesta berkenaan yang menyediakan beberapa acara menarik sepanjang penganjurannya.
"Pesta ini sangat menarik dengan lampu, tanglung dan bunga yang disediakan khas buat tatapan semua pengunjung. Malah tiada sebarang caj bayaran dikenakan," katanya.
Dalam pada itu, pesta berkenaan akan berlangsung bermula 23 Januari ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Selain menghayati keindahan tanglung dan bunga-bungaan, terdapat juga pameran buku, persembahan kebudayaan, perarakan kereta hiasan bunga dan tanglung serta bazar makanan vegetarian disediakan buat pengunjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!