Tak ambil iktibar atau terdesak mencari kerja?
SETIAP kali membaca berita mengenai usaha membawa pulang mangsa sindiket penipuan pekerjaan di beberapa negara jiran, timbul persoalan kenapa masih berlaku kejadian yang sama berulang kali, mengapa begitu mudah mangsa ditipu dan diperdaya dengan tawaran kerja ‘gaji tak masuk akal’?
Walaupun sudah terlalu banyak pendedahan dibuat terutama oleh Kementerian Luar dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan memaparkan sesi temu bual bersama individu pernah menjadi mangsa, namun bagaikan tidak memberi kesedaran atau dijadikan iktibar agar berhati-hati dengan bahaya ancaman sindiket pemerdagangan manusia untuk bekerja di negara ketiga.
Bukan sahaja ditipu, malah mangsa juga turut diugut, didera atau dicederakan. Semuanya meruntun hati tetapi tiada tanda jenayah tersebut akan berakhir. Terbaharu, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 28 tahun menjadi mangsa. Hasratnya mahu mengumpul wang bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi musnah selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Myanmar-Thailand sejak tiga minggu lalu.
Mangsa dijanjikan upah lumayan untuk bekerja sebagai jurubina dengan gaji RM10,000 selama seminggu. Namun, akhirnya dia telah dipaksa menjadi ejen sindiket penipuan di negara jiran dan sehingga kini tidak pasti bagaimana nasibnya.
Kemungkinan trend jenayah itu semakin berleluasa kerana mereka (sindiket) melihat banyak permintaan (bakal pekerja) atau mereka yang terdesak mencari kerja dan boleh dijadikan mangsa.
Bagaimanapun, kerajaan tidak berdiam diri, sebaliknya berusaha memperketat undang-undang bagi mengelak lebih ramai rakyat Malaysia terpedaya dengan helah sindiket penipuan pekerjaan di luar negara yang menjadikan medium sosial sebagai platform untuk mencari mangsa.
Pada masa sama, rakyat Malaysia terutama golongan muda dinasihatkan jangan mudah percaya dan tidak terlalu ghairah dengan tawaran bekerja di luar negara yang menjanjikan gaji besar, penginapan selesa, elaun penerbangan dan pelbagai faedah lain untuk kerja yang dianggap mudah.
Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini. Keluarga juga dinasihatkan supaya memainkan peranan. Ambil tahu jika ada ahli keluarga ‘terjebak’ dengan tawaran tersebut terutama daripada syarikat tidak dikenali. Selidik latar belakang syarikat berkenaan sebelum menerima sesuatu pekerjaan. Ingat, tersilap langkah boleh mengakibatkan seluruh kehidupan turut ‘berubah’!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!