'Umur tidak akan menentukan bila saya bersara'- Messi

Messi
Messi
A
A
A

BINTANG bola sepak masyhur dunia, Lionel Messi tidak beranggapan usia akan menjadi faktor utama dalam rancangan persaraannya.

Dalam masa sama, penyerang Argentina itu menegaskan, beliau juga tidak mempunyai sebarang idea yang jelas apa yang akan dilakukannya kelak apabila tiba masa bersara.

Messi yang bermain selama 17 tahun di Barcelona sebelum menandatangani kontrak dengan Paris St Germain pada 2021 dan Inter Miami tahun lalu, akan mencecah usia 37 tahun dalam tempoh kurang tiga bulan - sangat sedar bahawa usianya tidak akan menentukan bila masa untuk menggantung ‘boot.’

“Saya tahu apabila sampai masa saya rasa saya tidak lagi beraksi, saya tidak lagi menikmatinya atau membantu rakan sepasukan saya (saya akan bersara),” kata Messi kepada podcast Big Time dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Rabu.

"Saya adalah pengkritik diri saya sendiri. Saya tahu bila saya berada dalam keadaan yang baik dan keadaan tidak baik, apabila saya bermain dengan baik dan apabila saya bermain dengan teruk.

“Apabila saya rasa sudah tiba masanya untuk mengambil langkah itu (bersara), saya akan lakukannya tanpa memikirkan umur saya ketika itu.

"Jika saya berasa baik, saya akan cuba untuk terus bersaing kerana ia adalah perkara yang saya suka dan saya tahu bagaimana untuk melakukannya."

Ditanya sama ada dia mula berfikir apa yang akan dilakukannya selepas persaraan, pemenang anugerah Ballon D'Or sebanyak lapan kali itu tidak mempunyai jawapan yang jelas.

Artikel Berkaitan:

"Saya belum memikirkannya lagi. Buat masa ini, saya cuba menikmati setiap hari, setiap saat, tanpa memikirkan masa depan. Saya belum mempunyai apa-apa yang jelas lagi.

"Saya berharap untuk terus bermain untuk sementara waktu lagi, kerana itulah yang saya nikmati. Apabila tiba masanya, saya pasti akan mencari jalan kepada apa yang memenuhi saya dan apa yang saya suka dan peranan baharu," ujar Messi.

Messi terlepas aksi persahabatan Argentina menentang El Salvador dan Costa Rica di Amerika Syarikat bulan ini kerana mengalami kecederaan otot kaki. - Reuters/Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!