'Saya dan pemain bukan mesin' - Pan-gon

Kim Pan Gon. Foto Bernama
Kim Pan Gon. Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih menaruh harapan kemampuan pasukannya untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 walaupun tewas dua perlawanan kepada Oman.

Namun, beliau meminta semua pihak bertenang dan memberikan ruang kepadanya dan pasukan merencana sesuatu untuk menghadapi dua perlawanan getir menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada Jun.

Menurut Pan-gon, beliau meminta tempoh bertenang dan mengakui mahu berehat seketika sebelum kembali menghadapi aksi antarabangsa itu.

"Kita baru sahaja habis perlawanan (menentang Oman), kita masih ada masa. Saya bukan mesin dan perlukan rehat. Pemain juga perlukan rehat.

"Kita juga perlu bertenang sedikit. Malam ini (perlawanan pada Selasa) kita sudah menghadapi banyak perkara. Pemain juga hampir menangis (selepas tewas kepada Oman)," katanya.

Skuad negara yang dibelenggu masalah kecergasan pada kempen antarabangsa kali tewas kepada Oman di Muscat 0-2 pada Jumaat lalu dan turut tewas kepada lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya menempah laluan berliku dan perlu menang dua perlawanan terakhir menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada Jun untuk mara ke pusingan seterusnya.

Malaysia ketika ini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan D dibezakan tiga mata dengan Oman kedudukan kedua dan Kyrgyzstan yang sedang mendahului kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!