KPDN gagalkan cubaan seludup diesel, sitaan lebih RM1 juta

Pemeriksaan menemui 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel.
Pemeriksaan menemui 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menggagalkan cubaan seludup diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1 juta.

Serbuan jam 12.30 tengah hari pada Selasa itu melibatkan sebuah premis di Simpang Empat, Hutan Melintang di sini hasil risikan dan maklumat orang ramai.

Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan itu menemui 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel bersama lapan skidtank, peralatan pam penyedut, tiga treler dan dua lori muatan 5 tan.

Menurutnya, dua lelaki tempatan dipercayai pemandu dan pengurus premis berusia 50 dan 61 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Semua barangan dan diesel membabitkan nilai RM1,002,705 telah disita bagi siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kamalludin memeriksa kenderaan disyaki diubah suai bagi aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi di sebuah premis di Hutan Melintang.
Kamalludin memeriksa kenderaan disyaki diubah suai bagi aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi di sebuah premis di Hutan Melintang.

"KPDN juga akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap stesen minyak yang disyaki bersubahat dengan sindiket ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan menggunakan beberapa kepala treler yang diubah suai tangki dan membuat pembelian minyak berulang kali di stesen sekitar Hutan Melintang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, diesel yang dibeli itu kemudiannya dipindahkan ke skidtank yang diletakkan di sebuah premis disyaki tidak berlesen sebelum dijual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda.

"Kita dapati diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter ini boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 mengikut harga pasaran industri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!