PRK Kuala Kubu Baharu: Muda belum bincang letak calon
KOTA BHARU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum membuat sebarang perbincangan untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 21 Mac lalu.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, Muda Pusat sedang menunggu laporan daripada Muda Selangor untuk tindakan lanjut berdasarkan situasi politik di negeri itu.
"Kita sudah berhubung dengan Muda Selangor yang sedang melihat keadaan di negeri itu dan akan melapor kepada jawatankuasa eksekutif pusat.
"Buat masa sekarang kita masih belum ada sebarang keputusan mengenai perkara itu," katanya sempena Jelajah Pemangku Presiden Muda di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Penerangan Muda Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin.
Amira Aisya memberitahu, keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya akan diumumkan dalam satu pertemuan selepas perbincangan bersama.
Dalam pada itu, Amira Aisya turut memaklumkan parti itu akan kekal sebagai 'kuasa ketiga' dan tidak membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.
"Bagaimanapun, kita bersedia untuk berbincang dan tidak akan menentang keputusan parti lain jika membabitkan isu kepentingan rakyat," katanya.
Beliau memberitahu, jika Muda tidak bertanding, parti itu akan tetap menjadi suara semak dan imbang dan akan memastikan masalah rakyat di Kuala Kubu Bharu itu diperjuangkan.
"Kita bersedia mempromosikan mana-mana calon yang membawa suara rakyat," katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong, 58, pagi Khamis lalu akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, mendiang yang menjadi ADUN sejak 2013 bertanding atas tiket PH-DAP.
Kee Hiong menewaskan Teoh Kien Hong daripada PN-Gerakan dengan majoriti 14,862 undi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!