Raja Permaisuri Agong berkenan agih bubur lambuk Kampong Bharu
KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Khamis berkenan berangkat ke Majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Masjid Jamek Kampong Bharu di sini.
Seri Paduka tiba pada 10.54 pagi turut berkesempatan meninjau penyediaan bubur lambuk dan beramah mesra dengan petugas semasa majlis berkenaan.
Raja Zarith Sofiah kemudiannya berkenan mengagihkan bubur lambuk kepada 20 wakil masjid dari tujuh zon di Wilayah Persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk golongan mualaf dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Sejumlah 50 kawah bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong seawal 7 pagi tadi melibatkan petugas masjid, sukarelawan dan warga Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI).
Dianggarkan 12,500 bungkus bubur lambuk dapat diagihkan kepada ahli kariah dan masyarakat sekitar yang antara lain bertujuan menyebarluaskan peranan institusi masjid sebagai tempat ibadah dan medan menyuburkan semangat muhibah khususnya pada bulan mulia ini.
Program anjuran JAWI dengan kerjasama Istana Negara, Masjid Jamek Kampong Bharu dan Persatuan Anak Melayu Johor itu turut hadiri Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail, Presiden Persatuan Anak Melayu Johor Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Seri Dr Syed Hussein Al-Habshee dan Pengerusi Masjid Jamek Kampong Bharu Datuk Mohd Khay Ibrahim. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!