Raya dua beranak OKU kudung, fizikal bakal sepi
KOTA BHARU - Sambutan Aidilfitri pasangan dua beranak orang kurang upaya (OKU) bakal sepi selepas suri hati mereka meninggal dunia secara mengejut akibat sesak nafas bulan lalu.
OKU kudung tangan kiri, Mohd Nor Eizan Mamat Laksamana, 38, berkata, pemerigian arwah isterinya, Ruzana Zainuddin, 39, yang juga OKU fizikal akibat penyakit saraf itu meninggalkan kesan mendalam buat mereka.
Menurutnya, selepas kematian isterinya, dia terpaksa mengharungi Ramadan secara berasingan dengan anak tunggal perempuan mereka, Puteri Qurratul Ain Mohd Nor Eizan, 12, kerana terpaksa berpindah ke kampung halamannya di Terengganu untuk bekerja sebagai buruh kasar.
“Anak kami juga OKU fizikal akibat penyakit saraf dan dia kini tinggal dengan keluarga mentua di Kelantan.
“Aidilfitri nanti menjadi raya pertama kami tanpa arwah dan akan berasa sunyi berbanding sambutan sebelum ini kerana sudah pasti akan teringat pada celoteh serta masakan arwah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Pada Selasa lalu, dia turut menerima sumbangan sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri daripada Yayasan Petronas yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Mohd Nor Eizan turut berkongsi kisah tangannya yang kudung itu akibat tragedi tersepit mesin tebu ketika membersihkan alat itu sebelum memulakan perniagaan menjual air tebu semasa berusia 16 tahun pada bulan Ramadan tahun 2002.
“Waktu itu saya membersihkan mesin tebu dan membuka suis untuk memanaskan enjin.
“Entah macam mana secara tiba-tiba tangan kiri saya termasuk dalam mesin dan terkepit hinggakan tiga jari hancur,” katanya.
Menurut lelaki itu, dua lagi jari termasuk ibu jari tidak hancur namun terpaksa dipotong hingga ke bahagian pergelangan tangan bagi mengelak komplikasi dan bisa hampas tebu.
“Saya kini melakukan pekerjaan dengan menggunakan sebelah tangan kanan sahaja.
“Alhamdulillah masih boleh mencari rezeki untuk saya dan anak perempuan kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!