'Terkejut dihubungi Ketua Polis Negara'

Pengalaman bertemu dengan Ketua Polis Negara di pejabat beliau antara pengalaman tidak dapat dilupakan bagi empat anggota polis.
Pengalaman bertemu dengan Ketua Polis Negara di pejabat beliau antara pengalaman tidak dapat dilupakan bagi empat anggota polis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya terkejut apabila dihubungi Tan Sri (Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain), semua ini terasa bagaikan mimpi."

Demikian reaksi anggota Unit Cawangan Kereta Peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Koperal Sokongan Muhamad Nur Shahrul, 32, apabila pemimpin nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menghubunginya sendiri untuk bertemu bagi menyampaikan sijil penghargaan.

"Tan Sri hubungi saya untuk berjumpa di pejabatnya, saya sendiri terkedu kerana tak sangka.

"Segala apa yang kami anggota bawahan lakukan selama ini rupanya sentiasa diperhatikan secara rapat oleh beliau, beliau hargai segala apa yang kami lakukan demi pasukan," katanya menerusi perkongsian hantaran di Facebook rasmi PDRM pada Khamis.

Muhamad Nur Shahrul antara empat anggota polis yang berpeluang bertemu Razarudin untuk menerima sijil penghargaan.

Selain Muhammad Nur Shahrul, turut menerima sijil berkenaan adalah Lans Koperal Mohamad Khairul Annuar Borhan, 32; Lans Koperal Mohamad Hazieril Hanif Ahmad, 31 dan Lans Koperal Muhammad Shahrul Afiq Ahmad Dugel, 25.

Tiga anggota polis berkenaan menerima penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Razarudin susulan tindakan berani mereka menyelamatkan dua beranak dalam kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju,18 Mac lalu.

Razarudin ketika pertemuan berkenaan turut memberikan kata-kata semangat agar usaha murni yang dilakukan tiga anggota polis itu diikuti oleh anggota dan pegawai lain.

Artikel Berkaitan:

Razarudin menyatakan penghargaan terhadap usaha dan tindakan berani empat anggota polis terlibat pada 18 Mac lalu.
Razarudin menyatakan penghargaan terhadap usaha dan tindakan berani empat anggota polis terlibat pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, segala usaha dan kerja baik dilakukan perlu dipaparkan untuk menjadi ikutan yang baik.

"Sijil penghargaan ini boleh sahaja diberikan di padang kawad seperti mana penghargaan yang diberikan sebelum ini, namun saya mahu mereka datang dan terima sendiri di bilik saya.

"Peluang ini tak semua dapat, saya mahu apa yang mereka lakukan ini jadi contoh kepada semua anggota polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, setiap warga PDRM antara elemen penting dalam memberikan jasa dan bakti kepada masyarakat.

"Mereka adalah cerminan kepada pasukan, masa sama saya mahu pastikan setiap warga PDRM berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Selain itu, bagi saya kebajikan dan soal kelangsungan hidup setiap anggota bawahan perlu sentiasa diberikan perhatian," katanya.

Tindakan berani empat anggota yang bertindak nekad menyelamatkan dua beranak dalam kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri itu dikongsi menerusi aplikasi TikTok dan mencecah jutaan tontonan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!