Pembekuan permit pemindahan padi di bawah kuasa Ketua Pengarah KPB

Berkuatkuasa 20 Jun tahun lalu, KPKM melalui KPB telah membekukan semua permohonan permit perpindahan padi ke luar negeri. - Gambar hiasan
Berkuatkuasa 20 Jun tahun lalu, KPKM melalui KPB telah membekukan semua permohonan permit perpindahan padi ke luar negeri. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) menjelaskan kuasa pembekuan permit pemindahan padi antara negeri terletak di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] melalui fungsi Ketua Pengarahnya.

Menurut KPB, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr Azman Ibrahim bahawa kerajaan negeri yang mengeluarkan arahan pembekuan perpindahan padi adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Berkuatkuasa 20 Jun tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui KPB telah membekukan semua permohonan permit perpindahan padi ke luar negeri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

KPB berkata, langkah intervensi itu dibuat bagi mengatasi isu bekalan beras setempat serta mengambil kira kebajikan para petani dan arahan pembekuan permohonan perpindahan padi masih lagi berkuatkuasa sehingga kini.

"Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat lebihan hasil padi di dalam negeri dan terdapat keperluan untuk menjual padi merentasi negeri, permohonan boleh dikemukakan di pejabat KPB negeri untuk pertimbangan serta kelulusan Ketua Pengarah," katanya.

Sebelum ini, Dr Azman di dalam akhbar tempatan dilapor berkata, kerajaan negeri mengarahkan permit pemindahan padi keluar dari Terengganu dibekukan.

Beliau berkata, arahan tersebut bagi mengelakkan hasil dijual ke negeri lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!