Solat tanpa alas, sejadah

MENDIRIKAN solat tanpa beralaskan sejadah adalah harus jika benar-benar kita tiada alas atau sukar untuk mendapatkannya.
MENDIRIKAN solat tanpa beralaskan sejadah adalah harus jika benar-benar kita tiada alas atau sukar untuk mendapatkannya.
A
A
A

TATKALA menunaikan solat, sajadah semacam menjadi perkara yang wajib ada tidak kiralah di mana-mana sahaja kita menunaikan Rukun Islam ke-2 itu.

Jika tidak ada, seolah-olah tidak lengkap rasanya kerana ia sudah menjadi kelaziman kita pada setiap kali waktu solat.

Malah, kebanyakan surau, masjid mahupun tempat penginapan seperti hotel turut menyediakan kemudahan itu.

Namun, andai kata kita tertinggal sejadah atau tiada alas berkenaan, bolehkah kita mendirikan solat di atas tanah atau lantai tanpa beralaskan sejadah?

Kepada sesiapa yang berhadapan dengan perkara itu, usah risau untuk menunaikan solat tanpa sejadah.

Sebenarnya, kita boleh mendirikan solat di atas tanah atau tanah tanpa beralaskan sejadah.

Hukumnya adalah harus dan sah solat yang kita lakukan tadi.

Ketahuilah bahawa ia merupakan kelebihan yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW yang menjadikan seluruh muka bumi ini sebagai tempat sujud untuk mendirikan solat di atasnya.

Artikel Berkaitan:

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis.

Sabda Rasulullah SAW: "Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapa pun sebelum aku..(antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat." (Riwayat al-Bukhari)

Begitu pun, terdapat dua tempat yang dilarang untuk menunaikan solat iaitu di perkuburan dan tandas.

Seperkara lagi, seandainya tempat berkenaan mempunyai najis yang bersentuhan dengan badan, pakaian atau barang yang ditanggung oleh kita, maka tidak boleh didirikan solat di situ.

Ini kerana, apabila merujuk kembali kepada syarat sah solat, bersih daripada najis pada tempat solat adalah antara ketetapannya.

Sekalipun najis tersebut tidak bersentuhan dengan kita atau perkara yang disebutkan tadi, jika ia berdekatan secara urufnya, maka hukumnya adalah makruh dan seeloknya dielakkan.

Pun begitu, semua itu hanya boleh dilakukan apabila dalam keadaan kita benar-benar tiada alas atau sejadah atau mengalami kesukaran untuk mendapatkannya.

Jika sejadah atau alas berkenaan ada berhampiran kita dan mudah didapati, sebaiknya gunakanlah kemudahan berkenaan.

Jangan menjadikan hujah malas mahu membentang sejadah sebagai alasan untuk menunaikan solat tanpa lapik berkenaan.

Hakikatnya, lebih baik kita menggunakannya kerana ia menjamin kesucian dan menghilangkan rasa waswas dalam diri.

Lazimilah diri kita untuk menunaikan solat dengan sejadah atau alas supaya solat kita lebih sempurna.

Kalau kita boleh berhias cantik, kemas dan sempurna untuk keluar bertemu rakan-rakan, kenapa tidak untuk kita lakukan perkara sama apabila 'berjumpa' dengan Tuhan yang menjadikan makhluk sekalian alam?

Ayuh perbaiki ibadah kita dan semoga ALLAH menerima segala amal yang kita lakukan.

(Sumber: #Al-Kafi 1510: Hukum Sujud di Atas Tanah atau Lantai Tanpa Beralaskan Sejadah, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!