Pembantu bengkel diberkas, bakar mercun tengah jalan

Tular video memaparkan beberapa individu bertindak membakar mercun di persimpangan lampu isyarat dekat pekan Banting pada Khamis.
Tular video memaparkan beberapa individu bertindak membakar mercun di persimpangan lampu isyarat dekat pekan Banting pada Khamis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tindakan seorang lelaki membakar mercun di tengah jalan ketika menyertai perarakan mengiringi upacara pengebumian dekat pekan Banting di sini mengundang padah apabila diberkas polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata, makluman berkaitan kejadian diterima berdasarkan aduan orang awam kira-kira jam 2.28 petang.

"Polis terima makluman berkaitan terdapat perarakan di lokasi kejadian selain tindakan membakar mercun di tengah persimpangan lampu isyarat berkenaan.

"Polis kemudiannya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang individu dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Polis sedang giat mengesan dua lagi individu dipercayai turut terlibat dalam insiden membakar mercun di persimpangan lampu isyarat dekat pekan Banting pada Khamis.
Polis sedang giat mengesan dua lagi individu dipercayai turut terlibat dalam insiden membakar mercun di persimpangan lampu isyarat dekat pekan Banting pada Khamis.

"Suspek berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu bengkel ditahan sekitar jam 3.30 petang di sekitar kawasan Banting, Kuala Langat.

"Semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau berkait jenayah dan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek kemudiannya dikenakan tindakan saman berkait kesalahan lalu lintas.

"Selain itu, polis turut membuka dua kertas siasatan atas kesalahan narkotik di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan trafik di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis juga giat mengesan dua lagi individu dipercayai turut terlibat dalam kejadian ini," katanya.

Pada Khamis, tular video di media sosial memaparkan beberapa individu bertindak membakar mercun di sebuah persimpangan lampu isyarat di kawasan Banting.

Kejadian yang dipercayai direkod sebelum dimuat naik menerusi media sosial itu menerima kecaman orang ramai yang rata-ratanya mahu tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!