Sungai Alor Merah berubah ‘wajah’ selepas dibersihkan

Keadaan sebelum (kiri) dan selepas Sungai Alor Merah diselenggara.
Keadaan sebelum (kiri) dan selepas Sungai Alor Merah diselenggara.
A
A
A

ALOR SETAR - Sungai Alor Merah kini berubah ‘wajah’ setelah dibersihkan daripada sampah sarap yang membelenggu penduduk sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani berkata, kerja-kerja pembersihan sungai tersebut bermula pada 17 Mac lalu, yang didakwa menjadi punca berlakunya banjir akibat timbunan sampah selain dasar sungai cetek.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dan mendalamkan dasar sungai itu dijangka mengambil masa selama sebulan.

Dzowahir
Dzowahir

“Kerja pembersihan dan mendalamkan sungai tersebut bermula pada 17 Mac selepas bajet diluluskan, dan dijangka selesai menjelang 16 April depan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di sepanjang tiga kilometer termasuk melebarkan sungai mengikut rizab yang ditetapkan. Timbunan sampah dan dasar cetek menyebabkan banjir melanda beberapa kampung yang berada di sekitarnya,” katanya di sini pada Khamis.

Dzowahir yang juga Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri berkata, setakat ini kemajuan projek selenggaraan mencapai 50 peratus, melibatkan kerja-kerja pembersihan dan mengorek mendapan sedalam satu meter.

“Selain melakukan kerja mendalamkan semula, pokok-pokok sekitar tebing juga ditebang bagi mengelak banjir berulang pada masa hadapan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian pada 10 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 10 Januari lalu.

Tambah Dzowahir, sungai tersebut mempunyai sejarah tersendiri yang perlu dipulihara kerana ia pernah menjadi laluan pengangkutan utama membawa hasil padi dengan menaiki tongkang.

“Usaha membaik pulih sungai tersebut penting agar dapat kembali macam zaman dahulu. Selain program gotong-royong, program kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga dan mencintai sungai kita juga perlu digiatkan, ini merupakan anugerah daripada ALLAH SWT,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk sekitar agar memastikan kawasan rizab sungai tidak dicerobohi dan bersama-sama menjaga kelestarian sungai agar dapat dimanfaatkan oleh semua.

Pada Januari lalu, penduduk sekitar Jalan Sekolah, Jalan Dato' Syed Ahmad dan Kampung Hujung Alor meluahkan rasa bimbang ekoran Sungai Alor Merah tidak dibersihkan sejak lebih 10 tahun lalu.

Lebih 200 buah rumah penduduk sekitar kampung berhampiran sungai itu dilanda banjir sebanyak tiga kali pada tahun lalu.

Sungai berkenaan yang lama tidak diselenggarakan menyebabkan alirannya tersekat disebabkan sampah yang banyak dan pokok tumbang di tebingnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!