'Sudah dua tahun tiada persiapan hari raya'
BUKIT MERTAJAM - "Sudah dua tahun tiada persiapan istimewa untuk raikan hari raya, cukuplah sekadar dapat belikan anak sehelai baju baharu bagi ceriakan mereka."
Demikian luahan seorang bapa kepada tiga orang cahaya mata yang mana dua daripadanya diuji dengan masalah kesihatan dan merupakan orang kurang upaya (OKU).
Muhamad Rodzi, 46, mengakui disebabkan keadaan kewangan yang mendesak, dia dan isterinya, Siti Faizah Abu Bakar, 36, perlu berjimat cermat dalam membelanjakan wang dan mengutamakan hal penjagaan tiga anak iaitu Muhammad Adib Rayyan,10, Muhammad Adib Farhan, 7, dan Siti Aishah Fatimah, 3.
Menurutnya, anak sulung mereka diuji dengan masalah autisme manakala puteri bongsu mereka pula disahkan menghidap 11 penyakit kronik selepas lahir.
Jelasnya, Siti Aishah mengalami masalah penglihatan, pendengaran, paru-paru, saraf, tulang belakang membengkok dan terbaru adalah sindrom kabuki.
"Disebabkan Siti Aishah memerlukan penjagaan rapi setiap masa membuatkan saya terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik sejak tiga tahun lalu, manakala isteri yang bertugas sebagai jururawat di klinik kesihatan kerajaan mengambil alih tugas bagi mencari pendapatan keluarga.
"Memang kami tak mampu nak buat apa-apa persiapan raya termasuk membeli baju raya untuk anak-anak. Duit yang ada hanya cukup dibelanja untuk urusan sekolah anak dan perubatan Siti Aishah," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Bagaimanapun nasib keluarga Muhamad Rodzi mendapat perhatian Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) bersama Yayasan Al Nasmir yang meraikan mereka menerusi penganjuran program Ceria Raya Seikhlas Budi Kelab Media Mutiara dan Yayasan Al Nasmir 2024 pada Rabu.
Kesemua mereka dibawa membeli kelengkapan hari raya di Mydin Bukit Mertajam sebelum dibawa berbuka puasa di Nash Bistro, Bandar Perda.
Presiden Mutiara, Mohd Iskandar Othman berkata, program khidmat sosial (CSR) bersama Yayasan Al Nasmir itu merupakan aktiviti tahunan dalam membantu golongan yang memerlukan sekali gus menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.
"Melalui program ini, Yayasan Al Nasmir bermurah hati menyediakan bantuan persalinan baju baharu, barangan keperluan dapur dan wang tunai untuk persiapan hari raya buat mereka.
"Keluarga tersebut turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti susu, lampin bayi pakai buang serta keperluan perubatan untuk anak-anak Muhammad Rodzi," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Al Nasmir, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, pihaknya akan memberi bantuan bulanan kepada keluarga berkenaan sebanyak RM1,000 setiap bulan selama setahun untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!