KBS kembali beri tumpuan ke sekolah
PEMBANGUNAN bakat peringkat sekolah akan diberikan tumpuan dalam memastikan atlet-atlet yang tidak hanya mampu menyerlah tetapi juga memacu negara memenangi temasya dianjurkan pada masa depan.
Malah, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, keutamaan itu secara tidak langsung akan memperkemaskan lagi pembangunan bakat yang bermula di peringkat sekolah.
“Kalau saya dapat bajet tambahan itu saya hendak bagi balik kepada ekosistem sukan dengan harapan kita mampu pastikan lebih ramai lagi atlet kita boleh dihantar ke luar.
“Ini merupakan perkara asas yang perlu diutamakan kerana tidak guna kita jadi tuan rumah untuk sukan antarabangsa besar-besar, pada masa sama atlet kita gagal menangi apa-apa dan saya rasa itu bukan hasrat rakyat Malaysia.
“Apabila kerajaan buat keputusan tidak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan ramai netizen menyokong keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) baru-baru ini.
Sementara itu, Hannah memaklumkan kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa depan.
Bagi memastikan sukan akan turut diutamakan selain akademik, kementerian akan mendapatkan kerjasama KPM bagi memastikan pembabitan semua jenis sekolah dalam kejohanan sukan termasuk sekolah antarabangsa, swasta termasuk tahfiz.
“Langkah ini penting supaya lebih ramai atlet berbakat negara dapat dikesan dan bersaing di pentas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!