Tragedi Easter, 45 maut, bas terbabas, terbakar
JOHANNESBURG - Sekurang-kurangnya 45 orang maut dalam kemalangan selepas bas dinaiki mereka hilang kawalan sebelum jatuh dari jambatan dan terbakar di laluan gunung antara Mokopane dan Marken di Limpopo, Afrika Selatan pada Khamis, lapor Perbadanan Penyiaran Afrika Selatan (SABC).
Kesemua yang meninggal dunia itu dilaporkan dalam perjalanan menuju perhimpunan Easter iaitu perayaan penganut agama Kristian.
Nahas itu turut menyebabkan seorang cedera parah, kata Jabatan Pengangkutan negara itu dalam satu kenyataan.
Menurut laporan SABC, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang terselamat pula telah dihantar ke hospital.
SABC turut melaporkan, ketika nahas berlaku, penumpang-penumpang bas berkenaan dalam perjalanan dari Gaborone - ibu kota Botswana - menuju sebuah gereja untuk meraikan upacara Easter.
Menteri Pengangkutan Afrika Selatan, Sindisiwe Chikunga berkata, kerajaan akan menghantar pulang mayat ke Botswana.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang terjejas akibat nahas tragis bas berhampiran Mamatlakala.
“Ketika ini, ingatan dan doa kami adalah bersama-sama anda khusunys semasa saat-saat sukar ini. Kami terus menggesa pemanduan yang bertanggungjawab pada setiap masa dengan lebih berhati-hati kerana dijangkakan jumlah pengguna jalan raya akan meningkat pada hujung minggu ini sempena sambutan Easter,” kata Chikunga. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!