Kandungan mudarat di media sosial meningkat ketara - SKMM
CYBERJAYA - Kandungan memudaratkan di media sosial dan platform 'over the top' (OTT) menunjukkan peningkatan ketara apabila 27,115 kandungan telah diturunkan dua bulan pertama tahun ini.
Ia berbanding 35,490 kandungan yang telah diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang tahun 2023.
SKMM menerusi kenyataan memaklumkan, kandungan memudaratkan itu termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu.
"Kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia," kata suruhanjaya itu pada Jumaat.
Ujar SKMM, sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek agama, raja dan kaum (3R) yang berpotensi mencetuskan keganasan serta diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.
Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini.
"SKMM tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial," tegasnya.
Jelas suruhanjaya itu, susulan insiden melibatkan stoking tertera kalimah ALLAH, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejaki pemilik-pemilik akaun yang terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.
"SKMM mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!