Gandakan pahala 10 akhir Ramadan dengan iktikaf

No Image Caption
A
A
A

IBADAH iktikaf biasanya dikaitkan dengan hari Jumaat terutamanya ketika solat Jumaat dan malam sepuluh akhir pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun ibadah iktikaf ini sebenarnya boleh dilakukan sepanjang masa, namun ia terikat kepada keberadaan jasad pelakunya di tempat iktikaf.

Berkongsi tentang ibadah iktikaf, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ustaz Muhammad Adam Sameon berkata, takrifan iktikaf adalah berbeza mengikut sesetengah ulama.

“Imam Asy-Syafie dari sudut bahasa mentakrifkan iktikaf bermaksud menetap dan mengurung diri atas sesuatu dalam perkara kebaikan atau dosa.

USTAZ MUHAMMAD ADAM
USTAZ MUHAMMAD ADAM

“Manakala dari sudut syarak pula, Imam Ar-Ramli menyatakan dalam kitabnya, Nihayah Al-Muntaj bahawa iktikaf itu bermaksud menentap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada ALLAH) yang dilakukan seorang Muslim.

“Dengan syarat Muslim tersebut sudah mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid dan nifas serta dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, secara mudah difahami, iktikaf bermaksud seseorang yang menetap atau tinggal di dalam masjid dengan niat dan tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH dalam keadaan suci pada tempoh tertentu.

Dalil pensyariatan iktikaf

Dalil pensyariatan ibadah sunat ini dirujuk kepada ayat ke-187 Surah al-Baqarah:

“Dan janganlah kamu bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kamu dalam keadaan kamu sedang beriktikaf di dalam masjid.”

Menurut pemegang Tauliah Majlis Islam Sarawak itu, dalam satu hadis, Abdullah Ibnu Umar RA berkata: “Adalah Rasulullah SAW itu beriktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Berdasarkan dalil al-Quran dan hadis itu, para ulama termasuk Imam An-Nawawi mengeluarkan hukum iktikaf adalah sunat muakkad (sangat dituntut).

“Ia disunatkan pada keseluruhan waktu secara amnya manakala secara khususnya pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, ia lebih dituntut sesuai dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Rasulullah SAW dan mencari lailatulqadar,” hurainya.

Perlu difahami katanya lagi, ramai yang menganggap bahawa iktikaf hanya dilakukan di masjid namun beliau menjelaskan, hukum iktikaf di surau yang didirikan solat berjemaah lima waktu adalah sama seperti masjid.

MEMBACA al-Quran sehingga khatam juga boleh dilakukan tanpa gangguan ketika sedang iktikaf di masjid. Gambar Pexels.com
MEMBACA al-Quran sehingga khatam juga boleh dilakukan tanpa gangguan ketika sedang iktikaf di masjid. Gambar Pexels.com

Anjuran, larangan semasa iktikaf

Menjawab persoalan apa yang dilakukan semasa iktikaf yang menjadi amalan Rasulullah SAW, salafussoleh dan alim ulama, Muhammad Adam menjelaskan, antara ibadah yang dilaksanakan seperti:

1 - Memakai wangi-wangian pada tubuh dan pakaian.

2 - Dianjurkan menjaga penampilan yang menarik dengan mengenakan pakaian yang sopan dan cantik.

3 - Diharuskan makan dan minum di dalam masjid namun hendaklah menjaga kebersihan khusunya ruang iktikaf dan sekitar masjid. Lebih diutamakan untuk makan di atas safrah (kain lapik).

4 - Jangan disia-siakan peluang beriktikaf dengan menghabiskan masa berbual-bual dan tidur sahaja. Sebaik-baiknya isi masa sepanjang iktikaf dengan bersungguh-sungguh dalam membaca al-Quran, tadabur serta mengulangkaji ilmu selain zikir, istighfar, doa dan selawat kepada Rasulullah SAW.

Bagaimanapun katanya, ada perkara yang dilarang dan diharam melakukannya semasa iktikaf menurut ayat ke-187 Surah al-Baqarah:

“Dan janganlah kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu dalam keadaan kamu sedang beriktikaf di masjid.”

“Para fuqaha menjelaskan, kalimah ‘La’ dalam ayat tersebut merupakan larangan iaitu menunjukkan kepada pengharaman.

“Selain itu, beberapa perkara lain termasuklah murtad, haid, nifas, gila, mabuk dan keluar dari tempat iktikaf juga boleh membatalkan ibadah itu,” jelasnya.

Usaha hadir masjid laksana iktikaf

Beliau menasihatkan kepada umat Islam yang mempunyai kelapangan masa dan tenaga, berusahalah hadir melaksanakan ibadah iktikaf di masjid atau surau.

“Ambillah peluang pada sepuluh akhir bulan Ramadan untuk memperbanyakkan ibadah dalam usaha memburu lailatulqadar.

“Pada masa yang sama, perbanyakkan ilmu dan pengetahuan berkaitan iktikaf supaya dapat mendidik hati secara lebih dekat untuk sentiasa bersemangat untuk melakukannya,” katanya.

USAHAKAN untuk hadir ke masjid terutamanya pada 10 akhir Ramadan untuk melaksanakan ibadah iktikaf. Gambar Pexels.com
USAHAKAN untuk hadir ke masjid terutamanya pada 10 akhir Ramadan untuk melaksanakan ibadah iktikaf. Gambar Pexels.com

Sebelum menutup bicara, beliau menukilkan, Imam Ibnu Rajab Al-Hambali pernah menyatakan bahawa satu-satunya khalwat (bersendirian) yang disyariatkan buat umat Islam hanyalah ibadah iktikaf di dalam masjid.

“Justeru, jadikanlah ia sebagai medan untuk bersendirian dengan ALLAH SWT, muhasabah diri dan merasa asyik dalam beribadah kepada-NYA serta merasai kelazatan taat dalam melakukan perintah-NYA,” nasihatnya.

ANEKDOT

Tanda-tanda lailatulqadar

Ubadah bin As-Somit R.A berkata: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas.

“Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.”

JANGANLAH sibuk menceritakan nikmat ALLAH iaitu pertemuan lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki. Gambar Pexels.com
JANGANLAH sibuk menceritakan nikmat ALLAH iaitu pertemuan lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki. Gambar Pexels.com

Hikmah disembunyikan lailatulqadar

Antara hikmah disembunyikan lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar.

Beliau menukilkannya daripada kitab Al-Hawi: “Bahawa ia merupakan karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui lailatulqadar) daripada memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq.

“Mengikut adabnya pula, janganlah sibuk menceritakan nikmat ALLAH iaitu pertemuan lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!