Kemarau: KADA jangka 5,000 hektar padi terjejas, solat mohon hujan

Solat sunat istiaqa dilakukan bagi memohon hujan dan membantu mengurangkan masalah petani di Stesen Pam Kemubu, Kota Bharu pada Jumaat.
Solat sunat istiaqa dilakukan bagi memohon hujan dan membantu mengurangkan masalah petani di Stesen Pam Kemubu, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kira-kira 5,000 daripada lebih 9,000 hektar kawasan padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan terjejas jika kemarau semakin meruncing di negeri ini.

Pengerusi KADA, Muhammad Hussin berkata, ia berikutan kawasan berkenaan sangat kering mengakibatkan tanah merekah dan tanaman itu rosak teruk.

Beliau memberitahu, sawah padi di Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Utara antara yang terjejas dan banyak yang tidak dapat diselamatkan.

"Bagaimanapun, jumlah kerugian keselurunan hanya akan dapat diketahui pada hujung musim," katanya selepas solat sunat istisqa bagi memohon hujan di Stesen Pam Kemubu di sini pada Jumaat.

Menurut Muhammad, sebanyak 4,000 hektar sempat dibantu melalui pembinaan sistem telaga tiub dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Sungai di Stesen Pam Kemubu kering akibat kemarau melampau di Kelantan.
Sungai di Stesen Pam Kemubu kering akibat kemarau melampau di Kelantan.

Jelas beliau lagi, sebelum ini sebanyak RM200,000 diluluskan dan RM300,000 pula diluluskan dalam mesyuarat pengurusan dua minggu lalu.

"Sekarang pembinaan telaga tiub masih dilakukan manakala peruntukan juga sedang diagihkan supaya semua kerja-kerja itu dapat diselesaikan dengan segera," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu KADA turut berharap pembinaan pam air Kemubu 3 dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu Jun 2026 dan dapat menangani masalah kekurangan air ketika kemarau.

Muhammad menambah, pam sedia ada tidak mampu berfungsi kerana paras air terlalu rendah ketika kemarau iaitu 2.48 meter sedangkan pengeroperasiannya pada paras 3.5 meter.

Sementara itu katanya, seramai 300 jemaah menyertai solat sunat istisqa dengan harapan dapat membantu petani menghadapi masalah itu.

Media sebelum ini melaporkan KADA membuat keputusan melakukan pembenihan awan lebih awal berikutan kemarau luar biasa di negeri ini mengakibatkan kerosakan serius tanaman padi.

Kemarau paling teruk dalam sejarah penubuhan KADA kira-kira 50 tahun lalu itu turut mengakibatkan ribuan hektar hektar padi rosak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!