Jangan ambil tindakan sendiri, Malaysia ada undang-undang - KPN

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi amaran dan peringatan keras kepada orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri berhubung apa jua insiden yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata, meskipun pihak terlibat merasakan mempunyai hak terhadap apa yang berlaku, namun negara mempunyai sistem perundangan yang harus dipatuhi.

Menurutnya, orang ramai atau kumpulan tertentu tidak perlu mengambil tindakan sendiri yang kononnya dirasakan wajar.

"Tidak perlu kita ambil tindakan sendiri. Jangan rasa ada hak, maka kita mahu ambil tindakan sendiri.

"Tidak ada hak (melakukannya). Malaysia ada undang-undang dan kita perlu patuh kepadanya," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Razarudin menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid kepada Datuk Rusdi Mohd Isa.
Razarudin menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid kepada Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian individu melempar bahan letupan, molotov koktel ke arah kedai serbaneka KK Mart ekoran kes stoking tertera kalimah ALLAH.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid kepada Datuk Rusdi Mohd Isa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihak polis menyifatkan kes melibatkan KK Mart sudah selesai dan orang ramai tidak perlu memperbesarkan lagi isu tersebut.

Tegas beliau, PDRM juga sentiasa memantau rapi hantaran-hantaran di media sosial yang boleh membangkitkan amarah serta sensitiviti antara kaum dan agama.

Sehubungan itu kata beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memainkan dan menimbulkan isu berhubung 3R (agama, raja serta kaum).

Jelasnya, perkara seumpama itu akan mengundang kegusaran dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, semua laporan yang dibuat oleh orang ramai akan disiasat pihak polis secara menyeluruh.

Sementara itu ditanya mengenai pindaan Seksyen 21 Kanun Keseksaan yang diluluskan Dewan Rakyat, beliau berkata, pindaan akta tersebut memang satu keperluan.

Katanya, perkara itu akan memperkukuhkan lagi akta sedia ada iaitu membabitkan tindakan menghalang tugas penjawat awam.

Pemilihan Rusdi sebagai Ketua Polis KL tepat

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Rusdi sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Razarudin menyifatkannya sebagai keputusan tepat.

Berdasarkan kredibiliti dan kewibawaan dimiliki, beliau yakin bekas Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu mampu memikul tugas baharu dengan sebaiknya.

"Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Datuk Rusdi untuk memikul tugas baharu ini.

"Saya yakin pemilihan ini adalah tepat untuk galas tanggungjawab besar yang diamanahkan dan seterusnya menjadi nilai tambah kepada tanggungjawab baharu yang akan dipikul.

"Berbekalkan pengalaman luas yang ada, saya yakin beliau telah bersedia untuk menjalankan agenda urus tadbir dan tatakelola baik pasukan bagi meneruskan momentum kecemerlangan Kontinjen Kuala Lumpur," katanya.

Razarudin (kanan) dan Allaudeen meluangkan masa berswafoto bersama pengamal media sempena majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Razarudin (kanan) dan Allaudeen meluangkan masa berswafoto bersama pengamal media sempena majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam majlis sama, Allaudeen dilihat beberapa kali berhenti daripada berucap kerana menahan sebak dalam masa sama menyeru semua anggota PDRM menjaga integriti dan nama baik pasukan.

Kata beliau, semua petugas dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perkara negatif.

"Kepada yang masih berkhidmat, teruskanlah perjuangan yang mulia ini.

"Perjalanan kerjaya polis saya selama 38 tahun sembilan bulan akan berakhir 31 Mac ini dan akan bersara wajib pada 1 April.

"Rakan-rakan seperjuangan yang bersama saya selama ini adalah keluarga besar saya dan persaudaran serta persahabatan ini akan terus kekal kerana pasukan ini telah menjadi darah daging saya," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Jangan ambil tindakan sendiri, Malaysia ada undang-undang - KPN #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #Nasional #KKMart #Undang #Polis #RazarudinHusain #ALLAH #Stoki

original sound Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!