Bayar RM500 hingga RM1,500 beli akaun bank

Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan dirampas susulan tangkapan 16 individu sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan dirampas susulan tangkapan 16 individu sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menawarkan bayaran RM500 hingga RM1,500 untuk membeli akaun antara taktik sindiket jual beli kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan akaun bank yang dibongkar menerusi tangkapan 16 individu termasuk dua pegawai bank dalam serbuan sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.

Sindiket yang dipercayai bergerak aktif sejak enam bulan lalu dikesan menjual akaun bank berkenaan kepada sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan melibatkan 16 individu itu terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Nigeria.

Pelbagai kad ATM yang dirampas susulan serbuan dan tangkapan 16 individu sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.
Pelbagai kad ATM yang dirampas susulan serbuan dan tangkapan 16 individu sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.

"Kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 30-an ini berperanan mencari mana-mana individu yang mahu membuka serta memberikan akaun mereka kepada sindiket sebagai sumber pendapatan.

"Selain itu ada antara suspek ini juga berperanan sebagai orang tengah antara sindiket dengan pegawai bank tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah membeli akaun bank dan kad ATM daripada mana-mana individu dengan sejumlah bayaran.

Artikel Berkaitan:

"Akaun bank dan kad ATM dibeli kemudian disewakan atau dijual kepada sindiket yang melakukan kegiatan penipuan di seluruh negara.

"Selain itu, suspek juga membawa pemilik akaun ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mendaftar dan membuka akaun bank atas nama syarikat bagi menerima wang hasil penipuan," katanya.

Menurutnya, dua pegawai bank yang merupakan antara 16 individu ditahan bekerja sebagai Pegawai Pendaftaran Talian yang berperanan mendaftar akaun bank.

"Siasatan mendapati demi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan majikan, dua suspek ini dipercayai menerima pendaftaran akaun bank daripada beberapa individu tanpa membuat semakan menyeluruh.

"Sebanyak 40 akaun didapati dibuka selain lima akaun dikenal pasti terlibat dalam 15 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM2.3 juta di seluruh Malaysia dengan transaksi antara Februari sehingga Mac ini," katanya.

Telefon bimbit antara dirampas susulan serbuan dan tangkapan 16 individu sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.
Telefon bimbit antara dirampas susulan serbuan dan tangkapan 16 individu sekitar kawasan Gombak pada 20 Mac hingga 22 Mac lalu.

Hussein berkata, pelbagai peralatan termasuk 30 kad ATM pelbagai bank, 31 telefon bimbit, komputer riba dan satu fail mengandungi pelbagai dokumen.

"Salah seorang suspek diberkas dikesan memiliki rekod jenayah lampau selain pernah dikenakan tindakan perintah sekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada tahun 2021.

"Polis tidak menolak kemungkinan penglibatan beberapa individu lagi dalam kes ini termasuk pegawai bank tempatan, usaha memburu mereka yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan sedang giat dijalankan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan mana-mana tawaran bagi tujuan pembelian atau penyewaan akaun bank kerana ia jelas merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

"Jangan terlalu gelap mata dengan wang yang ditawar sedangkan hakikatnya hukuman yang bakal diterima amat berat serta dalam masa sama memberi risiko kepada masa depan seseorang itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!