Sarawak Energy penaung global Majlis Tenaga Dunia
SARAWAK Energy secara rasmi menjadi penaung global Majlis Tenaga Dunia, sekali gus menjadikannya yang pertama dari rantau Asia Tenggara.
Dalam kenyataan pada Jumaat, syarikat utiliti milik kerajaan negeri Sarawak itu berkata, perkara berkenaan telah dimuktamadkan dalam majlis pemeteraian perjanjian secara maya antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili dengan Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tenaga Dunia, Dr Angela Wilkinson.
Menerusi persetujuan itu, Sarawak Energy yang juga antara pemaju tenaga hidro utama di Asia Tenggara, akan menyokong Majlis Tenaga Dunia dalam usaha memangkin peralihan tenaga di serata dunia.
Pada masa sama, ini membolehkan syarikat berkenaan mendapat akses kepada rangkaian majlis yang merangkumi lebih 3,000 organisasi di lebih 90 negara dari segi pandangan global serta amalan terbaik berkaitan dasar tenaga, inovasi dan strategi kemampanan.
"Sarawak Energy akan menjadi penaung pertama majlis itu dari Asia Tenggara dengan menyertai kelompok di serata Amerika, Eropah, Timur Tengah dan Asia," katanya.
Sementara itu, Sharbini menyifatkan peranan sebagai penaung itu akan membolehkan Sarawak Energy meninjau dan memanfaatkan rangkaian pemain industri tenaga global ketika terus meneroka penyelesaian peralihan tenaga bagi rantau ini.
Beliau berkata, langkah peralihan strategik kepada tenaga hidro boleh diperbaharui lebih empat dekad lepas, membolehkan Sarawak Energy mengimbangi aspek keselamatan tenaga, kemampuan dan kemampanan, memacu pertumbuhan mampan di Sarawak dan mewujudkan asas kukuh bagi tujuan meninjau penyelesaian tenaga berkarbon rendah lain termasuk (kemudahan) solar terapung dan pengeluaran hidrogen hijau.
"Bagi tempoh 2010 hingga 2021, kami dapat mengurangkan intensiti pelepasan grid kuasa Sarawak lebih daripada 70 peratus.
"Ketika dunia mempercepat usaha peralihan tenaga, Sarawak Energy pula membangunkan rancangan berkongsi sumber tenaga boleh baharu dengan negara-negara jiran melalui kesalinghubungan dengan memajukan Grid Borneo dan Grid Kuasa Asean.
"Ini membolehkan kami dapat menyumbang secara signifikan kepada usaha pengurangan pelepasan karbon di Asia Tenggara dan meningkatkan daya tahan peralihan tenaga di rantau ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, penaung Majlis Tenaga Dunia merupakan tonggak penting organisasi itu yang secara aktif menyokong visi Menginsankan Tenaga majlis itu selain agenda impak kejayaan atau pencapaian.
Sepertimana sejak 100 tahun lepas, majlis itu melengkapkan kalangan pemimpin dan organisasi dengan pandangan serta mekanisme berkesan menerusi libat urus dalam peningkatan pelbagaian tenaga sebagai sumber pengetahuan, inovasi dan pembelajaran. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!