Tulisan jawi Muda tiada kaitan jelajah Perikatan Nasional
KOTA BHARU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kelantan menegaskan tulisan jawi yang digunakan cawangan parti tersebut di negeri ini merupakan logo rasmi baharu dan tiada kaitan dengan jelajah Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Muda Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin berkata, ini kerana tulisan jawi di negeri Cik Siti Wan Kembang merupakan satu identiti dan praktis yang telah lama dilakukan sejak bergenerasi.
"Kebiasaannya tulisan jawi ini dipaparkan di sekolah agama, pusat tahfiz, surau dan masjid.
"Bezanya di Kelantan, ia dipaparkan menerusi papan tanda kedai, billboard (papan iklan gergasi) dan juga poster iklan yang bersaiz kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, Rabu lalu mereka telah menganjurkan Jelajah Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya ke negeri Kelantan.
Ujarnya, tumpuan jelajah negeri ini adalah untuk memaklumkan proses rejuvinasi parti serta menyampaikan hala tuju Muda sebagai kuasa ketiga.
Beliau memberitahu, Muda Kelantan berharap agar proses rejuvinasi parti tersebut memberi kesan yang baik, dan juga dapat merapatkan saf diantara akar umbi dan pimpinan negeri serta dapat menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh golongan mahasiswa negeri serta golongan wanita di sini.
"Muda Kelantan akan menggunakan platform kuasa ketiga dengan sebaik mungkin sebagai barisan semak dan imbang terhadap kerajaan pimpinan Pas di negeri ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!