'Saya doakan mereka panjang umur, murah rezeki'

Laporan Sinar Harian mengenai kisah Mohd Razi yang buta akibat dirempuh binatang terbang pada 18 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai kisah Mohd Razi yang buta akibat dirempuh binatang terbang pada 18 Mac lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki kurang upaya Mohd Razi Ibrahim, 36, tidak menyangka perkongsian kisahnya di Sinar Harian membuka rezeki untuknya sekeluarga sempena Ramadan tahun ini.

Mohd Razi yang buta kedua matanya sejak dua tahun lalu akibat dirempuh binatang terbang tidak dapat menahan sebak menerima sumbangan daripada orang ramai terutama pembaca Sinar Harian.

Lebih istimewa katanya, sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk perbelanjaan bayinya yang bakal lahir kira-kira tiga bulan selain membeli keperluan Hari Raya Aidilfitri.

"Alhamdulillah, dengan keadaan saya dan isteri yang ada asma, kami tidak lagi buntu memikirkan persediaan kewangan kerana sebahagian derma itu menjadi tabungan keperluan bayi dan bil perubatannya.

"Saya berjanji akan membelanjakan sumbangan dengan berhemah dan sentiasa memikirkan masa depan kami terutama anak yang berusia lima tahun serta bayi yang bakal lahir," katanya.

Mohd Razi yang menghubungi Sinar Harian melalui 'voice call' memberitahu, melalui derma yang diterima itu juga membolehkan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan disimpan dan hanya sebahagian dibelanjakan untuk kegunaan harian.

Menurutnya lagi, sebelum ini ada saudara terdekat memaklumkan berita mengenainya dikongsi Sinar Harian dan ramai pembaca yang menghubungi untuk menderma.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk membalas jasa penderma tetapi saya doakan mereka semua panjang umur dan murah rezeki terutama ketika Ramadan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah Mohd Razi yang hanya menumpang kasih ibu bapa dan isteri di Kampung Kubang Panjang selepas kedua matanya buta akibat seekor haiwan yang sedang terbang ketika menunggang motosikal.

Pakar perubatan melakukan pelbagai usaha termasuk pembedahan pada Julai tahun lalu tetapi keadaan matanya sudah serius.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!