Perhilitan selamatkan beruang matahari sesat di kawasan perumahan
KUALA NERUS - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menyelamatkan seekor beruang matahari yang dikesan berkeliaran di kawasan perumahan sekitar Kampung Tok Jembal di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, beruang betina berusia lingkungan lima tahun seberat 65 kilogram (kg) itu telah memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Telaga Batin di sini sekitar jam 7.15 pagi pada Khamis.
Menurutnya, ia adalah haiwan sama dirakam penduduk kampung yang terlekat sewaktu memanjat pagar sebuah rumah di sini, Selasa lalu.
"Kita menerima aduan pertama pada Selasa lalu dan segera melakukan kawalan ke atas beruang tersebut selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu.
"Pemasangan perangkap telah dibuat di Kampung Telaga Batin pada Rabu dan beruang berkenaan telah berjaya memasuki perangkap semalam (Khamis)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Jelas beliau, haiwan itu akan dilepaskan ke kawasan habitat semula jadi yang sesuai untuk kemandirian spesies berkenaan.
Sebelum ini, gelagat seekor beruang matahari yang cuba memanjat pagar di kawasan perumahan berdekatan Tok Jembal di sini sempat dirakam seorang penduduk dan tular di media sosial pada Rabu.
Video berdurasi 21 saat itu pada mulanya dikongsikan pemilik akaun Ryu Watanabe menerusi laman Facebooknya pada Selasa dan tular setelah dikongsikan oleh sebuah lagi akaun media sosial sehari selepas kejadian itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!