Dakwaan kanak-kanak dibawa lari warga asing hanya salah faham
SHAH ALAM - Tiada sebarang unsur penculikan dalam kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa cuba dilarikan dua warga asing di sebuah pusat beli-belah berdekatan Klang Sentral pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati berlaku salah faham ketika kejadian.
Beliau berkata, siasatan dijalankan berdasarkan rakaman percakapan beberapa individu terlibat serta semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa bersama ibu dan ibu saudaranya menaiki eskalator dan difahamkan eskalator itu rosak, jadi mangsa dilihat mengalami sedikit kesukaran ketika menggunakannya.
"Kebetulan dua lelaki warga asing itu turut berada berdekatan mangsa dan mereka mengangkat mangsa dengan tujuan untuk membantu, namun perbuatan itu telah disalah erti ibu mangsa dengan menyangkakan bahawa anaknya cuba dilarikan serta diculik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mendapati dua lelaki warga asing itu bekerja berdekatan dan sering ke pusat beli-belah itu untuk membeli barangan keperluan.
"Siasatan mendapati kedua-dua individu terbabit tidak cuba melarikan diri ketika ditahan orang awam selain semakan mendapati tiada sebarang persediaan seperti kenderaan untuk cubaan melarikan sebagaimana didakwa.
"Selain itu, semakan mendapati dua individu terbabit mempunyai rekod di kilang iaitu tempat kerja mereka selain tiada sebarang rekod jenayah," katanya.
Pada Isnin, seorang ibu mengalami detik mencemaskan apabila anak perempuannya berumur setahun tujuh bulan didakwa cuba dilarikan dua lelaki warga asing di sebuah pusat beli-belah dekat Klang Sentral di sini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!