Lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya
TAWAU - Seorang lelaki dilaporkan hilang pada Jumaat selepas dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang menyeberang menggunakan rakit di Sungai Udin di sini.
Mangsa dikenali sebagai Zulkifli berusia 30-an dipercayai baru selesai mengambil buah kelapa sawit dan membawa hasil tersebut untuk ke seberang sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kehilangan mangsa pada jam 9.06 pagi.
Katanya, susulan laporan tersebut seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 45 kilometer dari BBP Tawau.
"Menurut maklumat awal, pengadu memaklumkan mangsa sedang menyeberang sungai menaiki rakit jenis buluh dan membawa muatan buah kelapa sawit.
"Bagaimanapun, mangsa telah dibaham buaya sebelum didapati hilang.
"Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Jemishin berkata, setakat ini mangsa belum ditemui dan pencarian masih diteruskan di sekitar sungai tersebut.
"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!