Perintah baharu ICJ kepada Israel

Kepulan asap tebal menyelubungi kawasan penempatan penduduk di Bandar Gaza yang terus dibedil rejim Zionis pada Khamis. - Foto AFP
Kepulan asap tebal menyelubungi kawasan penempatan penduduk di Bandar Gaza yang terus dibedil rejim Zionis pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

THE HAGUE - "Israel perlu memastikan bantuan kemanusiaan segera ke Genting Gaza tanpa berlengah-lengah memandangkan krisis kebuluran sedang berlaku di wilayah itu.”

Arahan terbaharu itu dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) selepas pertempuran semakin ganas di enklaf berkenaan walaupun selepas resolusi gencatan senjata segera diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada awal minggu lalu.

“Rejim Tel Aviv perlu mengambil langkah efektif dan tanpa halangan untuk perkhidmatan asas kepada penduduk Gaza Ia termasuk bekalan makanan, air bersih, elektrik, bahan api, tempat berlindung, pakaian serta peralatan sanitasi dan ubat-ubatan.

“Nyawa penduduk Palestin di wilayah itu sudah berada di hujung tanduk,” tegas panel hakim berpusat di The Hague tersebut pada Khamis.

ICJ juga mendapati perintah pada Januari lalu tidak ditangani sepenuhnya berikutan situasi perang yang berubah di Gaza, sekali gus mewajarkan pengubahsuaian langkah sementara tersebut yang pada mulanya menggesa Israel mengelakkan sebarang tindakan yang membawa kepada genosid.

Afrika Selatan yang mengheret rejim Zionis ke ICJ turut menyambut baik arahan baharu tribunal tersebut yang disifatkan sebagai 'keputusan penting'.

Fungsi penubuhan ICJ adalah untuk menyelesaikan pertikaian antara negara, namun keputusan penghakiman biasanya sukar dikuatkuasakan secara menyeluruh.

Sebagai contoh, mahkamah dunia tersebut pernah mengarahkan Rusia supaya menghentikan kempen pencerobohan ke atas Ukraine, namun gagal dipatuhi sehingga kini. - AFP

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!