Harga burger, roti john RM30, RM40 tidak benar - KPDN Johor
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menafikan peniaga di Bazar Ramadan Taman Suria di sini menjual makanan pada harga melampau termasuk dakwaan burger dan roti john dijual sehingga RM30 dan RM40.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, perkara tersebut disahkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Ops Samar di bazar tersebut.
"Pemeriksaan dilaksanakan berdasarkan satu aduan viral dalam media sosial TikTok dan Facebook berkaitan harga makanan mahal seperti burger dan roti john yang mencecah harga RM30 dan RM40 serta dikenakan caj bekas plastik di bazar Ramadan tersebut.
"Pemeriksaan di bawah Ops Samar yang melibatkan lapan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Johor mendapati tiada gerai yang menjual burger dan roti john yang mencecah harga RM30 sehingga RM40," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Selasa tular dalam TikTok, beberapa pengguna mendakwa harga makanan di bazar itu mahal dan 'cekik darah' contohnya burger RM30, roti john RM40 dan ikan bakar sebesar tapak tangan RM40 selain beg plastik dikenakan caj 50 sen.
Mereka yang berkongsi pengalaman membeli di bazar itu mendakwa harga makanan menjadi mahal kerana peniaga menyasarkan pelanggan dari Singapura dan bukan pelanggan tempatan.
Mengulas lanjut, Lilis Saslinda berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat dua gerai yang menjual burger dalam lingkungan harga RM6 sehingga RM10 manakala terdapat lima gerai yang diperiksa menjual roti john dengan harga RM6 sehingga RM15.
Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati tiada caj plastik yang dikenakan oleh peniaga di bazar Ramadan tersebut sepertimana yang ditularkan.
"Walau bagaimanapun, satu kes kompaun telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, pelanggaran subperenggan 2(1) iaitu gagal meletakkan label, tag atau tanda harga pada barang yang menunjukkan harga tunai sama ada untuk jualan atau sebagai contoh jualan di premis itu," katanya.
Sebagai rekod, KPDN Johor sudah melaksanakan 727 pemeriksaan gerai di bazar Ramadan melalui pelaksanaan Ops Pantau yang bermula dari 12 sehingga 27 Mac lalu dan mengeluarkan tiga kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
@sinarharianonline Harga burger, roti john RM30, RM40 tidak benar - KPDN Johor #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Johor #KPDN #Ramadan #Bazar #Makanan #Burger #RotiJohn
Du'a - Sami Yusuf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!