Singapura rampas 1.5 tan produk segar, makanan proses dari Malaysia
SINGAPURA - Kira-kira 1.5 tan produk segar dan makanan diproses yang diimport secara haram dari Malaysia dirampas Agensi Makanan Singapura (SFA) selepas satu operasi bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) awal minggu ini.
SFA dan ICA dalam kenyataan bersama berkata, operasi itu dijalankan dari 25 hingga 26 Mac ke atas trak penghantaran sayur-sayuran yang biasanya mengangkut hasil untuk diedarkan terus kepada peruncit dan pelanggan yang memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Semasa operasi itu, pegawai ICA merujuk dua trak ke SFA untuk pemeriksaan lanjut kerana percanggahan dalam konsainan yang diangkut.
"SFA kemudian menemukan 1.5 tan hasil yang tidak diisytiharkan seperti bayam, cili padi, daun bawang, terung, bawang putih yang dikupas dan kobis potong yang diimport oleh tiga pengimport dalam dua trak itu. Semua hasil import haram telah dirampas,” menurut agensi itu.
Di Singapura, makanan yang diimport ke negara itu mesti memenuhi keperluan SFA.
Buah-buahan dan sayur-sayuran hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen dan setiap konsainan mesti diisytiharkan dan disertakan dengan permit import yang sah.
Pesalah yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram berdepan denda maksimum S$10,000 (S$1=RM3.51) dan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran diproses secara haram boleh didenda tidak melebihi S$1,000 dan sabitan berikutnya, didenda tidak melebihi S$2,000. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!